Umum

Lapan lelaki ditahan disyaki terbabit pergaduhan di premis hiburan

Gambar Hiasan

Lapan lelaki berusia 26 hingga 46 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah premis hiburan di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya, polis menerima laporan berhubung kejadian yang melibatkan sekumpulan individu itu pada 10.07 malam.

“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan rasa tidak puas hati dalam urusan perniagaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata tiga individu yang direman selama sehari telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala lima lagi direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tular di media sosial kongsian video berdurasi 45 saat yang memperlihatkan pergaduhan antara beberapa individu di kawasan parkir sebuah premis hiburan.

 

PALING POPULAR

To Top