Umum

Lebih 1,000 orang menghadiri dan menyokong “Himpunan Selamatkan Syariah”

Gambar Akhi Mal

Lebih 1,000 orang menghadiri dan menyokong “Himpunan Selamatkan Syariah” di Istana Kehakiman di Putrajaya pada pagi ini (Isnin)

Himpunan aman itu diadakan bagi menunjukan solidariti dalam mempertahankan undang-undang syariah yang telah dicabar oleh beberapa pihak tertentu.

Ia susulan petisyen seorang peguam dan anaknya mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Peserta himpunan yang kelihatan kebanyakannya merupakan penyokong PAS serta NGO Islam itu dipercayai datang dari seleruh Semenanjung termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor telah mula berkumpul sejak 8 pagi tadi dan dimulakan himpunan itu dengan solat hajat.

Tinjauan himpunan tersebut tueut memperlihatkan sesetengah peserta memegang sepanduk “Pertahankan Enakmen Syariah Kelantan”.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional turut menyertai himpunan itu, termasuk Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.

Dipercayai, Presiden PAS, Hadi Awang yang masih belum kelihatan, dijangka akan turut menghadiri himpunan itu.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan.

Ibu dan anak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Antara peruntukan itu ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen.

Termasuk peruntukan seks dengan mayat, seks dengan bukan manusia dan gangguan seksual.

Mereka menyatakan bahawa undang-undang jenayah terbabit merupakan bidang kuasa Parlimen, justeru mahu mahkamah tertinggi itu mengisytiharkan peruntukan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah.

PALING POPULAR

To Top