Umum

Lelaki maut ditimpa dahan pokok yang ditebang

Gambar Facebook

Seorang lelaki berusia 47 tahun maut selepas ditimpa dahan pokok terap yang ditebang bersama sepupunya dalam kejadian di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, di sini pada Isnin.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika kepala mangsa terkena dahan pokok yang patah sewaktu dahan pokok berkenaan ditebang.

Mangsa, Othman Kasim, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman, berdasarkan keterangan pengadu yang juga sepupu mangsa, kejadian berlaku jam 6 petang ketika mereka sedang bergotong-royong menebang pokok berkenaan.

Beliau berkata, ketika arwah dan sepupunya sedang menarik pokok terap untuk ditebang, secara tiba-tiba dahan pokok itu patah dan terkena kepala mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terus terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum penduduk kampung menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

“Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 6.40 petang,” katanya.

Berikutan itu, sepupu mangsa yang berusia 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Sik untuk memaklumkan kejadian itu.

Abdull Razak berkata, hasil siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

 

 

PALING POPULAR

To Top