Umum

Lelaki ditemui maut dalam longkang di Kota Damansara

Gambar PDRM

Seorang lelaki ditemukan maut di dalam longkang di Jalan TSB 9, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian jam 6.34 petang, pada Rabu lalu.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan ditemukan berpakaian lengkap di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Identiti mangsa telah dijumpai di dalam poket seluarnya dan dikenal pasti berusia 45 tahun.

“Mangsa tinggal di kawasan Gugusan Kemuning, Jalan Pekaka 8/1, Seksyen 8, Kota Damansara dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hussin Sollehuddin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asp Mohd Nasir Mustapha di talian 011-32052062 bagi membantu siasatan.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.

 

PALING POPULAR

To Top