Umum

Lihat keperluan beku cuti kakitangan bagi persediaan menghadapi banjir -KKM

Gambar KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai keperluan membekukan cuti kakitangannya di seluruh negara bagi persediaan dalam menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut ketika ini.

Buat masa ini kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa ia belum dilaksanakan lagi kerana masih tiada keperluan memandangkan kejadian banjir di negara masih terkawal.

Bagaimanapun, kementerian telah melakukan persediaan menghadapi bencana berkenaan daripada pelbagai sudut termasuklah menyediakan fasiliti dan ubat-ubatan.

Menurutya, pihaknya sedang memantau keadaan namun petugas sudah maklum kemungkinan cuti dibeku berdasarkan keadaan meterologi dan sebagainya.

“Jika ada risiko banjir itu tinggi, akan berlaku banjir (dan ada) keperluan, kita biasanya akan bekukan tapi buat setakat ini, masih belum lagi,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat di Dewan Taman Fajar, Bukit Siput dekat sini hari ini.

Dr Zaliha berkata KKM juga sentiasa berwaspada dengan penyediaan makanan semasa banjir kerana sumber air, misalnya mudah tercemar dengan bawaan penyakit.

Berhubung penyakit tidak berjangkit (NCD), pihaknya agak bimbang kerana trend penyakit berkenaan seperti kencing manis dan darah tinggi semakin meningkat terutamanya dalam kalangan belia.

Justeru, katanya kementerian kini mengambil inisiatif dengan merendahkan umur saringan kesihatan daripada 40 tahun kepada 18 tahun.

“Hasil pemeriksaan itu, KKM dapat melakukan langkah intervensi awal bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan,” katanya.

PALING POPULAR

To Top