Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam pembangunan bidang halal pada hari Khamis ketika pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) ke-20 yang berlangsung di Singapura.
Antara perkara yang terlibat dalam memorandum itu adalah perkongsian maklumat dan kepakaran dalam bidang pensijilan halal selain pertukaran hasil penyelidikan serta kajian aspek syariah, sains dan teknikal.
Perkara tersebut telah dimaklumkan melalui kenyataan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Kementerian Agama Republik Indonesia dan Majlis Ugama Islam Singapura Khamis malam.
Kenyataan itu turut menyatakan buku terbitan Tafsir lImi (Ayat- Ayat Kauniyyat), produk bersama negara anggota MABIMS bertujuan mengajak masyarakat mengagungkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan inspirasi kemajuan umat serta peradaban manusia turut dilancarkan pada hari sama.
“Terbitan ini bertemakan penciptaan alam yang menggambarkan kekuasaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu Wa Ta’ ala daripada perspektif al-Quran melalui pendekatan Tafsir Ilmi,” katanya.
Sementara itu, pertemuan tersebut turut membincangkan perkembangan terkini masyarakat Islam di rantau ini khususnya kemajuan program kerjasama berbentuk Fokus Strategik yang dijalankan setiap negara di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025. “Mesyuarat juga memperbaharui komitmen untuk mengukuhkan lagi kerjasama bagi merealisasikan lebih banyak kerjasama antara anggota-anggota MABIMS termasuk perkembangan platform digital,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah pertemuan MABIMS (kali ke 21) seterusnya iaitu pada 2025.