Umum

MB Terengganu dinamakan calon PAS bagi PRK Parlimen Kemaman

Gambar FB Ahmad Samsuri

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah dinamakan sebagai calon PAS bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang ini.

Perkara tersebut telah diumumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada ceramah perdana majlis pengisytiharan calon PAS PRK Kemaman Khamis malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dan Naib Presiden PAS itu dijangka berdepan bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi menghadapi PRK ini.

PRK Parlimen Kemaman diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15).

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, 28 November bagi pengundian awal dan 2 Disember sebagai hari mengundi.

Pada PRU15 calon PAS Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH) yang mendapat 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani (Pejuang) yang mendapat 506 undi.

Keputusan PRU15 menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

 

PALING POPULAR

To Top