Umum

Mahkamah lepas, bebaskan Serba Dinamik, pengurusan tertinggi

Serba Dinamik Holdings Berhad, pengurusan tertingginya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Keputusan itu dibuat semasa sebutan kes berkenaan yang berjalan secara berasingan di hadapan empat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pengurusan Kanan syarikat itu terdiri daripada Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.

Ia diputuskan selepas Serba Dinamik dan eksekutif tertingginya melaksanakan penyelesaian penuh kompaun mereka pada 9 Mei lalu yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan jumlah keseluruhan RM16 juta.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport dikembalikan kepada semua tertuduh.

Pada 13 April, 2022, Serba Dinamik, Mohd Abdul Karim, Syed Nazim, Azhan dan Muhammad Hafiz dikenakan kompaun RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

Muhammad Hafiz telah dikenakan kompaun tambahan RM1 juta kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat Serba Dinamik, Serba Dinamik Sdn Bhd.

PALING POPULAR

To Top