Umum

Pendengaran permohonan rayuan Deepak ditetapkan pada 27 Mei

Mahkamah Persekutuan menetapkan 27 Mei ini untuk mendengar permohonan oleh ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan, adik lelakinya serta syarikat mereka, bagi mendapatkan kebenaran, dalam menghidupkan semula saman terhadap Datuk Seri Najib Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga lagi atas dakwaan konspirasi yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan bagi mendapatkan permohonan pada hari yang sama untuk dua lagi saman oleh Deepak.

Tarikh itu diputuskan pada pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Noor Fadzlin Abd Zawawi.

Ketika dihubungi peguam Datuk David Matthews yang mewakili Najib dan Rosmah, mengesahkan tarikh pendengaran kes itu.

Pada 29 Mei lepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Deepak, adik lelakinya serta syarikat mereka untuk menghidupkan semula saman terhadap Najib, Rosmah Mansor, bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas setiausaha sulit utama Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Saman yang difail pada September 2018 itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Jan 2020.

Dalam samannya mereka mendakwa defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang, dan menuntut ganti rugi am.

Mereka mendakwa atas arahan Shukry, mereka menandatangani satu perjanjian pada 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Bhd, untuk menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B, sebagai balasan untuk kemudahan pembiayaan sehingga RM198,888,750.

Deepak mendakwa ia bertujuan bagi menghalang beliau daripada memberi keterangan lisan secara jujur dalam kes sivil berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Deepak turut menfailkan saman terhadap Bakti Wira Development Sdn Bhd, Najib, Rosmah serta Boustead Holdings Berhad berkaitan perjanjian mengenai urusan tanah yang didakwanya mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

Pada 8 Okt lepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membatalkan saman itu.

Satu lagi saman adalah terhadap Cebur Megah Development Sdn Bhd.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top