Umum

Malaysia mohon mahkamah The Hague tolak tuntutan kumpulan Sulu

Malaysia mendakwa tuntutan kumpulan Sulu agar award sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara pada Februari 2022, diiktiraf dan dikuat kuasa adalah terbatal serta tidak sah.

Sekretariat Khas Sulu dalam kenyataan semalam memaklumkan justeru, pembelaan yang difailkan oleh pihak Malaysia menegaskan bahawa tuntutan kumpulan Sulu berhubung perkara itu tidak boleh diterima dan perlu ditolak.

Katanya Mahkamah Rayuan di The Hague telah mendengar permohonan kumpulan Sulu di Belanda dan hujah kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung pada 17 April lepas.

“ Malaysia kekal dengan pendirian bahawa tiada persetujuan telah dicapai yang boleh menyediakan sebarang asas bagi mana-mana proses timbang tara yang dikatakan itu.

“… dan langkah memulakan proses timbang tara komersial mengenai perkara yang menyentuh isu kedaulatan adalah sesuatu yang tidak jujur dan adalah penyalahgunaan proses timbang tara komersial yang jelas di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat itu juga menyebut Malaysia komited dalam melindungi kedaulatannya dan menegakkan proses timbang tara di peringkat antarabangsa serta berhasrat untuk mendedahkan percubaan kotor kumpulan Sulu bagi menguatkuasakan award palsu yang terbatal dan tidak sah itu.

“Ini adalah satu percubaan untuk memeras ugut sebuah negara berdaulat dan kewujudan berterusan award palsu itu telah mencemar reputasi sistem timbang tara yang dihormati di peringkat global,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk percubaan untuk memutarbelitkan kedaulatan undang-undang, tidak mengiktiraf kesahihan award yang kononnya diperoleh melalui proses timbang tara dan sedang memulakan litigasi di seluruh Eropah bagi memastikan penipuan ini didedahkan serta award berkenaan dibatalkan.

Pada 28 Feb 2022, Dr Gonzalo Stampa, penimbang tara antarabangsa yang berpusat di Madrid, Sepanyol dikatakan telah memberikan award itu kepada kumpulan Sulu manakala pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan award tersebut yang diperoleh pihak Malaysia di Perancis.

Oleh itu, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 berhubung penguatkuasaan award tersebut adalah kekal.

– Bernama

PALING POPULAR

To Top