Umum

Bazar meriah tapi kuasa membeli tiada

Benarkah ekonomi negara semakin merundum? Bayangkan peniaga-peniaga bersuara dan mengeluh  jualan pakaian untuk sambutan hari raya paling teruk tahun ini.

Walaupun ramai pengunjung yang datang ke bazar berkenaan setiap hari, namun mereka hanya sekadar membelek-belek dan berlalu pergi tanpa membeli sebarang pakaian.

Kemerosotan teruk jualan itu dikatakan bukan sahaja dihadapi di bazar Aidilfitri Jalan TAR, malah turut berlaku di beberapa tempat lain di seluruh negara.

Peningkatan harga barangan ketika ini telah mengurangkan kuasa beli isi rumah terutama melibatkan golongan B40 serta sebahagian kelompok M40 yang tinggal di tengah kota raya ini.

Ini sekali gus menyebabkan mereka terpaksa mengubah corak perbelanjaan harian seperti membeli keperluan harian pada kuantiti yang kecil serta di kedai yang menawarkan harga yang lebih murah.

Hakikatnya,  orang ramai kini mula lebih berhemah dalam berbelanja. Sebagai solusinya ramai yang memilih berbelanja secara online yang katanya jauh lebih murah dengan kualiti yang sama atau lebih baik berbanding dengan apa yang dijual di bazar-bazar Aidilfitri.

Ketika ini ramai sebenarnya yang terkesan akibat faedah Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75 peratus yang dikenakan oleh bank-bank. Rata-rata mereka yang membuat pinjaman perumahan atau kenderaan tertentu terpaksa membayar lebih antara RM200 hingga lebih RM1,000 bergantung kepada jumlah pinjaman pada setiap bulan berbanding bayaran bulanan semasa.

Sedangkan, bayaran lebihan itu sepatutnya boleh digunakan oleh mereka untuk menampung perbelanjaan seharian termasuk untuk membuat persiapan raya.

Sebagai contoh, jika seseorang itu terpaksa membayar lebihan pinjaman perumahan sebanyak RM600 sebulan sebagai bunga OPR, untuk lima bulan saja dia terpaksa membayar sebanyak RM3,000.

Jadi, bayangkan jika wang sebanyak RM3,000 menjadi tabungan mereka, sudah semestinya mereka mempunyai wang cukup untuk berbelanja bagi menyambut Aidilfitri ini.

Sudah semestinya jumlah rakyat di negara ini yang masih mempunyai hutang rumah atau kereta ketika ini bukan seorang, malah jumlahnya mungkin mencecah jutaan orang dan bayangkan mereka semua terkesan untuk membayar bunga OPR tersebut.

Senario ini mungkin merupakan antara faktor menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat tidak berkeupayaan untuk berbelanja seperti seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang Aidilfitri ini.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top