Tech

Malaysia pasang model sport Porsche di Kulim

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama di luar Eropah yang akan memasang model kereta sport terkemuka jenama Porsche untuk pasaran domestik.

Ia direalisasikan menerusi kerjasama antara Sime Darby Bhd dan Porsche AG dengan kilang pemasangan tempatan model (CKD) di Kulim, Kedah bakal beroperasi menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kerjasama dengan Porsche menandakan pengukuhan hubungan antara cabang perniagaannya, Sime Darby Motors yang terjalin sejak 11 tahun lalu.

Lebih menarik, katanya, pemasangan model Porsche akan dilakukan oleh bakat tempatan yang berkemahiran tinggi milik Sime Darby disokong keupayaan kumpulan itu untuk menyediakan nilai terbaik kepada rakan niaganya.

“Pemasangan model Porsche AG dijadualkan bermula pada 2022 dan selain Sime Darby Motors juga dilantik sebagai pengedar dan peruncit eksklusif untuk jenama kereta sport ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffri Salim berkata, pemasangan akan melalui standard dan proses yang sama seperti dilaksanakan Porsche di kemudahan pemasangan dengan rakan niaganya di Eropah.

Beliau berkata, kualiti akan menjadi komitmen utama bersama antara Porsche AG dan Sime Darby kepada semua pelanggan dalam pemasangan kenderaan Porsche.

“Portfolio pemasangan adalah elemen penting dalam strategi pertumbuhan Sime Darby dan ia juga memperbesarkan lagi hubungan kerjasama melangkaui peruncitan dan pengedaran,” katanya.

Selain Porsche, kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan milik Sime Darby kini juga turut menjadi pilihan bagi beberapa jenama automotif global yang lain.

Disokong oleh tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi katanya, Sime Darby mampu mengeluarkan 17,141 unit pada tahun kewangan 2021.

Sime Darby juga katanya bekerjasama dengan vendor tempatan dalam memberikan sokongan bekalan dan pengeluaran yang lancar.

“Dengan kerjasama ini, Sime Darby dapat memainkan peranan dalam membantu mengembangkan dan mempromosikan vendor tempatan sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen, berkata pemilihan Malaysia menjadi sebahagian daripada perancangan Porsche untuk memperkukuhkan lagi kehadiran jenama itu di pasaran Asia Tenggara.

Katanya, Malaysia dan ASEAN berpotensi menjadi pasaran utama syarikat pengeluar kenderaan dari Jerman itu.

“Porsche juga teruja menantikan model pemasangan tempatan pertama yang bakal menemui pelanggan Malaysia pada tahun hadapan.

“Ketika Porsche bergerak ke era mobiliti baru, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi pasaran yang semakin penting. Langkah ini sekarang adalah sebahagian dari inisiatif mengikuti permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang pesat,” katanya.

PALING POPULAR

To Top