Umum

Masih mahu kekalkan Zahid sebagai Presiden, UMNO akan berdepan penolakan total

Kesetiaan adalah satu sifat yang dituntut dalam diri seseorang tetapi setia membabi buta adalah satu kebodohan yang tidak patut ada dalam diri seseorang.

Sebagai contoh, seorang wanita setia kepada suaminya walaupun mengetahui wujud orang ketiga umpama membenarkan diri sendiri diperbodohkan secara sukarela dan senario ini yang sedang berlaku dikalangan pemimpin akar umbi UMNO walaupun mereka sedang diperbodohkan oleh Presiden mereka sendiri.

Malah disebabkan terlalu setia dan diperbodohkan oleh Presiden UMNO juga lah menjadi punca parti itu kini hanya tinggal 20 lebih kerusi Parlimen yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Malangnya, kekalahan semasa PRU-15 lalu nampaknya tidak menyedarkan dan memberi keinsafan kepada pemimpin akar umbi UMNO khususnya ketua-ketua bahagian dan cawangan yang masih berdegil mahu ahli-ahli mereka supaya setia kepada anak murid Presiden PKR.

Nampaknya ketua-ketua bahagian dan cawangan UMNO ini masih tidak sedar mereka hanya sedang dipergunakan Presiden parti yang hanya mahu melepaskan tengkuk diri sendiri, maka tidak menghairankan mereka masih setia menyokong walaupun sudah terang-terangan mereka hanya menjadi alat untuk menyelamatkan diri Presiden.

UMNO juga sudah hilang hala tuju dan bukan lagi sebuah parti yang boleh diharapkan untuk orang Melayu bergantung, UMNO kini menjadi syarikat sendirian berhad yang sedang diperkudakan untuk mengkayakan individu tertentu dalam parti.

UMNO bukan lagi parti yang boleh diharapkan untuk menjaga maruah orang Melayu apabila sanggup bersekongkol dengan musuh jelas dan nyata hanya kerana kemaruk untuk berkuasa semata-mata.

UMNO bukan lagi sebuah parti yang relevan memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu, sebaliknya UMNO kini menjadi parti untuk menjaga kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

Realitinya, UMNO kini menjadi parti pencacai kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH) apabila sanggup berkompromi prinsip perjuangan orang Melayu sehingga mengabaikan suara di peringkat akar umbi.

Suara akar umbi UMNO sudah tidak dihiraukan lagi kerana mabuk kuasa sehingga hilang kewarasan dalam menimbang untuk membuat keputusan memilih mana satu kaca, mana satu permata.

Adakah dengan bekerjasama bersama musuh terang juga satu strategi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

Zahid menggunakan alasan kononnya setiap keputusan dan tindakan yang diambilnya adalah ‘strategi’ bagi memastikan akar umbi tunduk dan mempercayai semua pembohongannya.

Yang peliknya, masih ada juga ketua-ketua bahagian dan cawangan yang mempercayai setiap penipuan oleh Zahid. Tidak pasti apa jampi dan bomoh mana digunakan oleh anak murid Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Mungkin ketua-ketua bahagian dan cawangan UMNO ini perlu dibawa mandi air kolam tujuh jenis bunga untuk membuang badi dan supaya mereka insaf daripada dikencing secara terang-terangan.

Tidak terlambat lagi untuk ahli-ahli UMNO mengambil sesuatu langkah yang tegas dan menjadi seorang yang berpendirian tidak mudah dicucuk hidung mengikut arahan secara membabi buta.

Jika tidak diselamatkan UMNO ini daripada penguasaan oleh seorang individu bernama Zahid, percayalah UMNO akan ditolak secara total pada PRU-15 nanti dan hanya akan tinggal batu nisan.

Mungkin selepas itu ahli-ahli UMNO baharu sedar diri mereka sedang ditipu tetapi waktu itu sudah terlambat dan tidak boleh berpatah balik lagi.

PRU-15 perlu dijadikan iktibar yang besar kepada UMNO, sekurang-kurangnya bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak berani memikul tanggungjawab dan melepaskan jawatannya secara terhormat dan bukan seperti Zahid yang masih tidak tahu malu untuk mengheret parti ke lembah kehancuran.

Sedar lah, rakyat menolak UMNO semasa PRU-15 lalu adalah kerana Zahid dan bukan kerana mereka membenci parti. Pergi lah mana pun, hampir semua berpandangan sama punca perpecahan UMNO adalah disebabkan oleh seorang individu yang bernama Zahid.

Sedar lah sebelum terlambat UMNO tinggal batu nisan selepas ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top