Umum

Masyarakat Orang Asli Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

Seramai 127,669 individu masyarakat Orang Asli di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau juga berkata setakat ini pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah menerima sebanyak 39,174 borang pendaftaran daripada masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun beliau berkata kira-kira 25,215 individu Orang Asli telah dikenal pasti tidak bersetuju untuk menerima suntikan berkenaan.

“Ini kerana ada antara mereka yang terpengaruh dengan hasutan oleh golongan antivaksin, ada juga yang memberi alasan tertentu tidak mahu divaksin.

“Walaupun ia bukan satu tugas yang mudah untuk meyakinkan mereka, JAKOA akan terus mengadakan sesi libat urus bagi meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan dan manfaat apabila menerima vaksin memandangkan ramai yang menerima maklumat yang salah dan kurang jelas mengenai kebaikan vaksin COVID-19, ” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 35 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Tiat di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata seramai 62,269 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli menerima bantuan bakul makanan kerana terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara sejak 12 Mei lepas.

Sejumlah RM12 juta diperuntukkan untuk bantuan bakul makanan itu merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, sardin serta kicap dan bantuan tersebut telah disalurkan secara berperingkat sejak semalam.

“Kita menjangkakan 9 Jun ini akan selesai sepenuhnya penyerahan bantuan bakul makanan ini di seluruh perkampungan Orang Asli. Sekiranya PKP dilanjutkan lagi, kita akan menghulurkan bantuan yang sama kepada mereka,” katanya.M

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top