Umum

Matrade mengetuai misi eksport ke Jepun

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mengetuai misi pecutan eksport ke Tokyo dan Osaka, Jepun dari 31 Okt hingga 8 Nov, 2023, melibatkan 16 syarikat Malaysia.

Misi yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Matrade untuk membantu PKS Malaysia meluaskan perusahaan mereka dalam pasaran global.

Misi ini diadakan dengan objektif utama untuk mempamerkan keupayaan Malaysia dalam industri makanan, minuman dan gaya hidup (fesyen) halal sempena Pameran Malaysia 2023 dari 3 hingga 5 November 2023.

Syarikat Malaysia yang ingin memasuki pasaran Jepun masa akan datang dapat manfaat penyertaan misi ini pada masa yang sesuai menjelang Ekspo Dunia 2025 yang akan diadakan di Osaka.

Matrade, melalui pejabatnya di Jepun akan menyelaraskan satu siri program untuk 16 syarikat Malaysia tersebut, termasuk penyertaan dalam Pameran Malaysia 2023, seminar perniagaan serta padanan perniagaan satu dengan satu pembeli Jepun.

Menurut Pengarah Seksyen Transformasi dan Perdagangan Digital, Asnor Vidya Nor Azmi, agensi itu juga bekerjasama dengan Pusat ASEAN-Jepun dan Pusat Galakan Perniagaan Antarabangsa Osaka bagi menyediakan laluan kepada syarikat Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran dan peluang di Jepun.

Jepun ialah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia pada 2022, dengan perdagangan dua hala meningkat 21.2 peratus tahun ke tahun kepada RM181.51 bilion.

Pada 2022, eksport Malaysia ke Jepun meningkat 29.6 peratus tahun ke tahun kepada RM98.24 bilion.

PALING POPULAR

To Top