Umum

Mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui dalam tong sampah

Gambar PDRM

Mayat seorang wanita dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan bogel, tanpa kepala, tangan dan kaki di dalam tong sampah yang dibuang ke dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah di sini, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu kira-kira jam 2 petang pada 31 Disember lalu sebelum siasatan dijalankan bersama Unit Forensik Kontinjen Melaka dan Hospital Alor Gajah

“Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, hanya beralaskan kain di bawahnya disyaki seorang perempuan berusia antara 20 hingga 30-an.

“Selain itu anggota badannya tidak cukup iaitu kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipercayai telah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Melaka bagi mengetahui sebab kematian dan identiti mayat tersebut.

“Setakat ini, tiada sebarang tanda badan atau tatu ditemui, bagaimanapun pihak polis telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua kes orang hilang tetapi negatif.

“Lokasi penemuan mayat itu pula merupakan jalan kampung dan tiada rumah, namun kediaman terdekat pun rumah kosong iaitu 100 meter dari lokasi kejadian.

“Kes di klasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga mahupun individu yang dikenali diminta menghubungi balai berhampiran.

“Boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di talian O6-5562222 atau pegawai penyiasat Deputi Superintenden Mohd Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536277,” katanya.

PALING POPULAR

To Top