Umum

MB Inc Perak adakan siasatan dalaman kes tipu guna namanya

Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sekiranya terdapat petugasnya terlibat dalam kes penipuan berkaitan projek perlombongan dan usahasama dengan menggunakan nama syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.

Dalam sebuah kenyataan, MB Inc menyatakan ia tidak akan melindungi mana-mana petugas sekiranya didapati bersalah dan akan mengambil tindakan dalaman yang tegas.

“MB Inc mengambil maklum terhadap berita yang dilaporkan oleh media tempatan berkaitan dua individu yang dituduh di mahkamah semalam kerana penipuan berkaitan pemberian projek perlombongan oleh MB Inc dan penyamaran sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif) MB Inc.

“Pihak kami memandang serius insiden ini dan pada masa sama turut membantu pihak polis dalam siasatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana pihak yang ingin membuat pertanyaan atau cadangan dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi MB Inc dan tidak menggunakan perkhidmatan ‘orang tengah’.

Terdahulu, dilaporkan media, Heidil Iskandar Mohd Shamlan, 33, dan Mohd Zulkifli Mohd Toha, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua tuduhan menipu menggunakan nama MB Inc, dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mereka didakwa menipu Muhammad Razlan Abdullah, 65, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka dapat memberi satu projek perlombongan unsur nadir bumi di Hulu Perak menggunakan nama MB Inc.

PALING POPULAR

To Top