Umum

Kemalangan akibat elak jalan berlubang, seorang kanak-kanak 4 tahun maut

Gambar PDRM

Akibat mengelak jalan berlubang, seorang kanak-kanak perempuan maut apabila kereta yang dinaikinya melanggar sebuah lori selepas dirempuh bas dari belakang, susulan nahas awal dimana dua lori lain terlibat.

Menurut polis, dalam kejadian berdekatan Kampung Paris Satu di Kinabatangan, Sabah pada 11.05 pagi tadi, rempuhan bas menyebabkan kereta yang dinaiki kanak-kanak berusia 4 tahun itu melanggar belakang lori tiga tan, yang berhenti di hadapan kerana kemalangan dua lori berkenaan.

Dilaporkan Harian Metro, Ketua Polis Kinabatangan, Dzulbaharin Ismail berkata, “polis menahan pemandu bas akibat cuai memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dan permohonan reman akan dilaksanakan,”

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan. Pemandu keretanya mengalami cedera ringan manakala pemandu bas serta konduktor dan 29 penumpang tidak cedera.

Ini bukan insiden pertama kemalangan berpunca jalan berlubang. Terdahulu, media melaporkan pada 13 Januari lepas, seorang pemandu lori sampah maut selepas kenderaannya terbabas lalu terbalik dalam nahas di Kampung Sentosa Jaya, Kinabatangan, dipercayai cuba mengelak lubang.

PALING POPULAR

To Top