Umum

MB Johor dahului senarai penerima pingat Hari Wilayah Persekutuan 2022

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad mendahului senarai 263 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara, hari ini.

Hasni dianugerahkan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama dan merupakan penerima tunggal Darjah Kebesaran Pangkat Pertama itu pada istiadat pengurniaan tersebut, menurut laporan Bernama.

Kementerian Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, penganugerahan tersebut merupakan suatu pengiktirafan kepada sumbangan besar Johor kepada kemajuan Wilayah Persekutuan dan peranan penting yang dimainkan oleh Hasni selaku Menteri Besar Johor ke-18 sejak dilantik pada 28 Feb 2020.

Sementara itu, seramai 15 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Antaranya ialah Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Asri Hamidon; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Saiful Anuar Lebai Hussen.

Seramai 59 individu dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Penerima lain PMW ialah atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly; bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee dan penyanyi tersohor tanah air Abdul Hail Amir.

Abdul Latif memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro dan Sukan Paralimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

PALING POPULAR

To Top