Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar mana-mana pihak supaya membuat laporan polis walaupun beratus kali berhubung kenyataannya berkaitan bayaran pajakan Pulau Pinang.
Menurutnya apa yang penting adalah fakta membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan membayar RM10,010,000 bagi pihak Pulau Pinang sebagai pajakan kepada Kedah.
“Ya saya ada faktanya ialah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang… sepuluh juta, sepuluh ribu (ringgit) sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.
“Jadi kalau tak pajak bayar buat apa?,”
buta sejarah, buta dia tak tahu apa. Pi report polis… report 100 kali pun saya tak peduli… memang fakta dia macam itu.
“Habaq (beritahu) kat dia… pi repot (polis) 100 kali lagi,” katanya mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa Muhammad Sanusi mempertikaikan kedaulatan Pulau Mutiara itu.
Semalam, di Dewan Rakyat, Guan Eng menyelar tindakan Muhammad Sanusi yang didakwanya mempersoalkan keabsahan negeri Pulau Pinang dan didakwa mengapi-apikan sentimen ekstremis.
Beliau kesal dengan kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang didakwanya menyakitkan hati 1.7 juta rakyat Pulau Pinang Piang dengan meragui dan mempertikaikan kedaulatan negeri itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sik, Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, Muhammad Sanusi tidak mempertikaikan kedaulatan mana-mana pihak, sebaliknya hanya menuntut hak Kedah dan rakyatnya.
“Menteri Besar Kedah tidak pertikai kedaulatan siapa-siapa. Jauh sekali menghina dan merendahkan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
“Tuntutan hak untuk Kedah dan rakyatnya itu kami sokong dan dokong,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Sumber: Agenda Daily