Umum

MB Perlis sedia terima anaknya dihukum sekiranya terbukti bersalah

Gambar Facebook

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli menyatakan beliau sedia menerima sekiranya anaknya terbukti bersalah berkaitan siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kangar, Shukri berkata, “maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar”.

“Namun, apa pun saya tidak ada rasa gundah gulana dan saya juga tidak ada sebarang prasangka terhadap SPRM sehingga habis siasatan mereka,” katanya menurut Berita Harian.

“Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan tetapi harus diingat tidak siapa kebal undang-undang termasuklah saya.”

Beliau berkata, pejabatnya sentiasa terbuka kepada SPRM.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya terbuka di mana dalam ucapan sidang DUN sebelum ini juga, saya ada katakan bahawa pejabat saya buka ’25 jam’ (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya.

Shukri yang juga ADUN Sanglang turut menyatakan, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM kini sedang giat melakukan pemeriksaan di setiap Pusat Khidmat DUN di negeri Perlis pada waktu ini.

“Saya difahamkan mereka (SPRM) sudah ke Kuala Perlis dan berkemungkinan akan ke tempat lain pula selepas ini, tak tahulah,” katanya.

Susulan reman awal, SPRM menyambung tempoh reman selama sehari lagi terhadap anak menteri besar Perlis dan empat lagi suspek yang ditahan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu RM600,000.

Siasatan melibatkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti baik pulih, menyelenggara, perbekalan, dan perkhidmatan di seluruh Perlis, sejak 2022.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top