Umum

Pesawat ringan mendarat cemas di LTSAAS

Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang pada pagi Jumaat hanya 2 minit selepas berlepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Norazman Mahmud, 2 juruterbang dalam pesawat ringan jenis Diamond DA-42 dengan nombor pendaftaran N566CB dikendalikan Techstrait Ltd berada dalam keadaan selamat.

Dalam sebuah kenyataan, Norazman berkata “Pesawat itu berlepas pada pukul 8.26 pagi dari LTSAAS dan pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah menerima panggilan kecemasan sejurus selepas pesawat berlepas.”

“Pesawat kemudiannya membuat pendaratan cemas pada 8.28 pagi,” ujarnya.

Beliau berkata, landasan lapangan terbang terlibat ditutup kepada operasi penerbangan buat sementara, sehingga pesawat itu dialihkan dari landasan.

Dilaporkan berita, siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

 

PALING POPULAR

To Top