Umum

MBSJ kenal pasti lebih 10 gerai Pasar Borong ‘dijual’ kepada warga asing

Gambar MBSJ

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengenal pasti lebih 10 premis gerai warga tempatan di Pasar Borong Selangor yang telah ‘dijual’ kepada warga asing.

Menurut Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, kegiatan menjual tapak atau lesen perniagaan oleh rakyat tempatan kepada warga asing seperti sistem ‘ali baba’ sering dilihat menyumbang kepada lambakan dan monopoli perniagaan warga asing.

Merujuk data MBSJ, terdapat 384 petak niaga bagi kategori perniagaan bahan mentah di lokasi berkenaan.

“MBSJ sering menjalankan pemantauan dan operasi penguatkuasaan di lokasi ini, sebanyak 11 operasi dijalankan sejak dari tahun 2019 dan sebanyak 161 Notis Tawaran Kompaun (NTK) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita kesan ada belasan gerai yang menjual lesen kepada warga asing dan MBSJ telah mengenal pasti pemiliknya untuk tindakan pembatalan lesen perniagaan,” katanya selepas Operasi Bersepadu di sini pada Sabtu.

Operasi bermula jam 3 pagi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Operasi seperti itu dilaksanakan bagi memeriksa premis berlesen yang melanggar syarat-syarat pelesenan seperti menggunakan pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, kawasan yang diduduki penjaja warga asing juga didapati tidak terjaga dan kotor hingga boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat serta keharmonian di sesuatu kawasan itu.

“Pemantauan berkala akan terus dijalankan dari masa ke masa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan serta syarat-syarat ditetapkan,” ujarnya.

PALING POPULAR

To Top