Umum

Menteri Kesihatan arahkan penempatan semula HO di hospital yang memerlukan

Gambar Facebook

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan kadar segera.

Menerusi hantaran di laman X, beliau berkata segala langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan para petugas saban hari dan minggu. Dengan 147 hospital KKM dan lebih 3,000 klinik kesihatan di seluruh negara, pasti banyak aduan akan saya terima.

“Teruskan menghantar maklum balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa). Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai pembaharuan saya,” katanya.

Dipercayai Menteri Kesihatan mengulas isu tular di laman sosial berkaitan hantaran gambar keluhan petugas perubatan yang ditulis di papan putih dipercayai berlaku di sebuah hospital di Kedah yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dalam kenyataan, berkata isu kekurangan sumber manusia akan ditangani sebaik mungkin supaya penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Norizan Ahmad berkata pembahagian sumber manusia di peringkat KKM dalam kategori pakar dan pegawai perubatan di seluruh hospital adalah selari dengan beban tugas semasa.

“Penempatan pegawai perubatan di sesebuah hospital pula ditentukan oleh pengarah hospital mengikut justifikasi dan keperluan semasa,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top