Umum

Menyekat pengembara China tidak berkesan dan munasabah dalam membendung Covid-19 – KKM

Tindakan China yang dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19 memberikan rasa kegusaran kepada semua negara. 

Beberapa persatuan menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.

Namun, Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan cadangan untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pengembara China bagi membendung virus Covid-19 susulan pembukaan sempadan negara itu adalah tidak berkesan dan tidak munasabah.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebaliknya Malaysia perlu meningkatkan pemantauan dan survelan daripada pelbagai sumber, bukan hanya membabitkan pengembara dari China sahaja, tetapi dari semua destinasi lain.

Menurutnya, pelaksanaan ujian RT PCR negatif atau RTK AG (profesional) bukan hanya perlu memfokuskan pengembara dari China, namun harus membabitkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

“Ia adalah langkah jika matlamat kita adalah untuk mencegah potensi varian baharu SARS-CoV-2 memasuki negara.

“Harus diperingatkan varian baharu boleh merebak merentas sempadan antarabangsa dengan pantas dan boleh muncul di mana-mana. Maka tumpuan dan tindakan kita hanya untuk negara China sahaja tidak akan berkesan dan juga tidak munasabah.

“Kita bukan seperti tahun 2020, iaitu di dalam fasa pembendungan, tetapi sekarang kita berada dalam fasa mitigasi dan virus sudah ada di persekitaran kita. Maka vaksinisasi penting kerana varian boleh muncul di mana-mana, bukan hanya China,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pelbagai pihak termasuk pakar kesihatan supaya Malaysia mengikut langkah diambil beberapa negara termasuk India, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan perjalanan terhadap pelancong dari China susulan peningkatan kes positif COVID-19 di republik itu.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau perkembangan situasi pandemik Covid-19 dan penilaian risiko akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah kesihatan awam yang berkesan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat varian atau subvarian yang dikongsikan oleh China kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan Malaysia juga mengesan varian atau subvarian yang sama melalui jujukan genomik.

Menurutnya, semua pihak perlu melihat dengan terperinci matlamat dan kesesuaian masa pelaksanaan serta keberkesanan tindakan untuk menguji dan kuarantin semua pengembara dari China itu.

Katanya, jika matlamatnya untuk mengurangkan jangkitan kes dalam negara, ternyata ia tidak akan berkesan kerana Covid-19 sudah berada di dalam negara dengan pelbagai subvarian dalam fasa peralihan endemik dan mitigasi untuk hidup bersama virus terbabit.

“Apa yang penting adalah berkongsi maklumat jujukan genomik dengan negara lain dan WHO… ini dapat dijalankan melalui pengambilan sampel dan ujian secara rawak oleh pihak KKM dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Kita sepatutnya jangan alpa dan meningkatkan aktiviti pencegahan dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam termasuk mengamalkan konsep 3W, (kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran KKM) yang berkonsep peringatan serta mengelak 3S iaitu elak kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat.

“Rakyat Malaysia disarankan untuk mendapatkan perlindungan vaksin dan dos penggalak… KKM akan terus memperkukuhkan sistem kesihatan di klinik kesihatan dan hospital untuk merawat pesakit yang dijangkiti,” katanya.

Semalam, Pihak berkuasa kesihatan Itali telah melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap semua pelancong tiba dari China dan mendapati hampir separuh daripada penumpang dua pesawat dari China yang mendarat di Milan positif wabak itu.

Jadi, adakah Malaysia bersedia menerima gelombang baharu COVID-19, sekiranya pintu sempadan terus dibuka untuk mereka?

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top