Umum

Pelayan restoran maut bungkusan ditinggal atas bonet kereta meletup

Seorang lelaki maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup ketika dipegang pada malam Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak kejadian berlaku kira-kira jam 8.55 malam di hadapan sebuah kedai makan di Pandan Indah.

Difahamkan mangsa berusia 28 tahun itu terlihat sebuah bungkusan ditinggalkan di atas bonet kereta sebelum cuba mengambilnya.

Bagaimanapun ketika mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan mengakibatkan kecederaan pada mangsa.

“Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam di Hospital Ampang,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Siasatan awal di tempat kejadian turut menemui beberapa kesan lekukan pada kenderaan mangsa dipercayai akibat letupan berkenaan.

Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top