Umum

Mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu hari ini

KUALA LUMPUR: HARI ini merupakan mesyuarat kabinet pertama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, mesyuarat itu akan dijalankan secara dalam talian kerana Ismail Sabri kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas didapati ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah berkaitan peralihan kawasan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini telah mencapai kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.

Justeru, rakyat amat menunggu kebijaksanaan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan baharu ini.

Segala inti pati atau sebarang keputusan dalam mesyuarat kabinet pertama itu tentunya menjadi fokus rakyat yang mengharapkan akan ada perubahan baik melalui perbincangan tersebut terutamanya berkaitan usaha mengatasi penularan COVID-19.

Semalam seluruh negara meraikan tarikh, 31 Ogos yang merupakan tarikh keramat bagi semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa.

Tarikh tersebut mengingatkan kita tentang penat lelah pejuang terdahulu dalam menghadiahkan kemerdekaan buat negara.

Dalam pada negara masih bergelut melawan pandemik COVID-19, sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 tetap diraikan walaupun secara sederhana.

Sempena kemerdekaan juga rakyat menzahirkan penuh harapan untuk negara bebas selama-lamanya daripada pandemik COVID-19.

Yang penting pada ketika ini ialah membantu rakyat yang kini sedang menderita.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

To Top