Umum

Kawasan sekitar Bangi dan Semenyih banjir, seramai 150 terpaksa berpindah

Gambar JBPM

Dianggarkan seramai 150 mangsa terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing di sekitar kawasan Bangi dan Semenyih kerana dinaiki air banjir sedalam 1.52 meter sejak awal pagi hari ini (Ahad), menurut laporan di Harian Metro.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kerja pemindahan dilaksanakan oleh Balai Bomba Penyelamat Bangi, Kajang, dan Semenyih.

“Banjir di Jalan Semenyih Indah 16 membabitkan air sedalam 1.52 meter menjejaskan 14 rumah dan seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba.

“Di Kampung Bangi Lama, sebanyak 10 rumah terjejas akibat air banjir setinggi paras pinggang (dewasa), yang mana seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba manakala kira-kira 100 lagi berpindah sendiri,” katanya.

Ahmad Mukhlis turut berkongsi dianggarkan hampir 30 rumah terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan sejak awal pagi tadi.

Katanya, pemerhatian pihak bomba mendapati trend air menunjukkan penurunan namun pasukan penyelamat akan terus bersedia untuk sebarang kemungkinan.

 

 

PALING POPULAR

To Top