Umum

Moratorium pinjaman bank bukti keprihatinan Perikatan Nasional

Pemberian moratorium kepada rakyat selama lebih enam bulan adalah bukti keprihatinan Perikatan Nasional ketika menjadi kerajaan sebelum ini, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Oleh itu, katanya pada Sabtu ini (19 November 2022), pengundi perlu keluar beramai-ramai memilih Perikatan Nasional untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

Menurut calon Perikatan Nasional Parlimen Tambun itu, Allah mentakdirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Usaha-usaha telah dilakukan, namun pelbagai isu politik berlaku menyebabkan Allah takdirkan beliau memikul satu tanggungjawab yang maha besar. Selaku Perdana Menteri Malaysia di waktu kita mengalami krisis ekonomi, krisis politik dan paling teruk krisis kesihatan yang kita tak faham macam mana nak atasi.

“Pada masa itu kita tidak tahu bagaimana darurat. Tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyelamatkan nyawa kita, beliau telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan. Dan ketika itu kita yakin usaha yang dibuat oleh Tan Sri adalah betul… hari ini kita berada di sini.

“Lepas setahun kita dengar dah ada vaksin, kita tak tahu sama ada vaksin ini berjaya atau tidak? Kita tak faham. Kalau kita cucuk kat badan kita ni jadi ke tak jadi. Selamatkah kita daripada Covid?” katanya berucap pada Jelajah PN BEST di Parlimen Tambun, Perak, malam ini (13 November 2022).

Bagaimanapun, katanya kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin telah membuat satu keputusan berani menempah pembelian vaksin daripada awal lagi menyebabkan Malaysia antara negara terawal mendapat vaksin dan menyelamatkan rakyat daripada banyak kematian akibat Covid-19.

“Seperkara lagi ialah mengenai moratorium. Macam mana Tan Sri Muhyiddin boleh dapat idea. Tak pernah terfikir kita beli motor.. kita beli kereta… kita beli rumah (pinjam bank). Tak pernah kita terfikir, kita boleh tak bayar selama enam bulan lebih.

“(Tapi) Tan Sri Muhyiddin boleh pakat dengan bank… dia bukan ada kuasa. Perdana Menteri tak boleh nak arah bank suka hati dia. Tapi dia boleh bincang dengan bank, boleh bagi kita moratorium… tak payah bayar hutang bank.

“Dan sekarang ini kalau kita baca dalam manifesto Tan Sri Muhyiddin janji lagi sekali. Kalau kita dapat tubuh kerajaan (Persekutuan) kita akan beri lagi moratorium. Dan ini kita yakin boleh buat. Sebab Tan Sri dah buat dah dulu. sudah terbukti,” katanya lagi.

Ahmad Faizal juga berkata Perikatan Nasional yakin – setelah membuat kajian, penyelidikan dan culaan – satu gelombang perubahan akan melanda negara dan negeri Perak dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perak di bawah Perikatan Nasional.

“Jika dulu ramai pemilih malu-malu untuk menyatakan sokongan kepada parti politik, tetapi sekarang setelah mendapati Perikatan Nasional sebuah parti yang prihatin dan bersih, mereka secara terang-terang menyatakan sokongan,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top