Umum

PN bukan lagi parti ‘underdog’ – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa gabungan tersebut bukan lagi parti ‘underdog’ sebaliknya berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat terutama masyarakat Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang.

“Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.

“Insya-ALLAH, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” kata Muhyiddin dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.

Beliau juga menegaskan tawaran yang dikemukakan PN mendapat reaksi positif daripada kebanyakan penganalisis politik berbanding Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Jelas Muhyiddin, lahirnya PN adalah untuk memberikan tawaran baharu dan lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“PN menawarkan tawaran PN yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN. PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai sokongan rakyat menjelang PRU15 ini, Muhyiddin mengingatkan kepada mereka untuk tidak tersalah dalam membuat pilihan.

“Tidak berapa lama lagi kita akan berdepan dengan PRU15 dan kita perlu membuat pilihan yang tepat bagi memilih kerajaan terbaik untuk Malaysia

“Kita tidak mahu sejarah hitam berulang. Kita tidak mahu UMNO/BN, parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali.

“Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan. Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak langsung menghormati hak-hak bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah perlembagaan dan hak kaum-kaum lain,” ujar beliau.

Jelasnya, masih banyak lagi perkara buruk tidak sepatutnya berlaku jika pemimpin yang dipilih tidak berakhlak.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top