Umum

MOTAC sambut pelancong dari China dengan meletakkan pegawai fasih Mandarin di lapangan terbang

Hari ini China mula membuka pintu sempadan mereka, setelah 3 tahun berkurung.

Walaupun mendapat tentangan dibeberapa buah negara disebabkan wabak Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya di sana. Namun, Malaysia memberikan seribu ruang agar mendapatkan kemampatan ekonomi.

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menempatkan beberapa pegawai yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

Menterinya,  Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kehadiran pegawai berkenaan bagi membantu kelancaran di pintu sempadan terutamanya melibatkan pelancong dari China yang lemah berbahasa Inggeris.

Menurut beliau, pihaknya akan menyelaraskan usaha tersebut bersama pihak pengurusan lapangan terbang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“China telah menutup sempadannya selama lebih tiga tahun. Sejumlah besar pengembara dari China dijangka akan memasuki negara kita untuk melancong.

“Bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa.

“Ini bukan sahaja untuk kelancaran tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan,” kata King Sing dalam kenyataan.

Selain mempercepat proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara-negara lain langkah tersebut juga dapat menonjolkan sifat mesra Malaysia dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China.

King Sing menegaskan, dalam masa sama, MOTAC turut mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pengembara dari tersebut.

Langkah berkenaan sekali gus menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia dalam mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di pintu masuk negara.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen kerana bersetuju membuka laluan mudah bagi memudah dan mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara kita, serta mempercepatkan proses pemeriksaan kastam,” kata King Sing.

Beliau sebelum ini meminta orang ramai terutama warganet berhati-hati memberi komen di media sosial berkaitan isu ketibaan pelancong China susulan pembukaan semula sempadan negara itu bermula 8 Januari ini.

Menururt King Sing, ia bertujuan supaya jalinan persahabatan antara Malaysia dan China tidak dirosakkan.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk melihat pembukaan sempadan China secara rasional.

Beberapa pihak sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap kehadiran pelancong China ke negara ini berikutan kebimbangan terhadap situsai Covid-19 di negara itu.

Pada 28 Disember lalu, dua pesawat penumpang dari China yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Malpensa, Milan telah disahkan positif Covid-19 dan terpaksa diasingkan dengan segera.

Beberapa negara turut mengambil langkah berhati-hati terhadap kemasukan pelancong dari China.

Sumber: Malay Mail

PALING POPULAR

To Top