Umum

Moyang cekal besarkan lima cicit seorang diri

Ketika insan lain yang sudah menginjak ke usia emas berehat menghabiskan sisa kehidupan, ceritanya berbeza buat Awa Minhat, 79 tahun, yang terpaksa membesarkan lima cicitnya seorang diri.

Menetap di Kampungku Sayang, Bukit Piatu, di sini, warga emas ini cekal memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada cicitnya yang berusia tujuh hingga 18 tahun, termasuk seorang yang mengidap masalah usus.

Pesara atendan hospital ini berkata, dia yang sememangnya menjaga kesemua mereka sejak lahir, menggalas tanggungjawab itu sepenuhnya selepas ibu bapa kanak-kanak itu bercerai.

Selain itu, bapa mereka juga sedang menjalani hukuman di Penjara Lipat Kajang, Jasin, ketika ini.

Mesra disapa ‘emak’ oleh cicit-cicitnya, warga emas itu berkata, ramai yang tampil untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat, namun berbekalkan sisa kudrat yang ada, dia tidak mahu mereka berpisah dan sanggup menjaga mereka sehingga akhir hayatnya.

“Apa nak dibuat. Mahu atau tidak, kita kena jaga mereka, sebab kasihan dengan budak-budak ini. Kalau tidak, tiada siapa hendak menjaga mereka, ibu mereka pun tidak mahu, selepas sudah berkahwin semula.

“Lagipun, saya pernah cakap kepada mereka, kalau mahu ikut dan tinggal dengan ibu, pergilah, saya tidak halang. Tetapi adik-beradik ini tidak mahu.

“Dan, meskipun ada orang luar hendak ambil sebagai anak angkat, saya tak sanggup tengok mereka berpisah,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Awa yang menghidap penyakit kencing manis berkata, berbekalkan wang pencen RM1,000 sebulan, dia berusaha untuk memastikan keperluan kanak-kanak itu tidak terabai terutama sekali dalam pendidikan.

Walaupun tidak dapat menyediakan hidangan mewah di atas meja seperti keluarga lain, namun katanya mereka tidak pernah terputus bekalan makanan meskipun hanya hidangan ala kadar.

“Apa pun keadaan, sikit atau banyak, yang penting saya akan pastikan makan minum, duit sakit pening untuk budak-budak ini semua cukup.

“Lagi pula, yang sulung sudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini bekerja sambilan.

“Dengan apa yang termampu, saya juga sentiasa pastikan persekolahan mereka tidak terabai walaupun ada kekangan untuk belajar pada tempoh Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang lalu.

“Di rumah ini, tidak ada komputer riba. Manalah kami mampu,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Aidilfitri, Awa menjelaskan, apa juga keadaan, dia akan pastikan setiap cicitnya mempunyai sepersalinan pakaian baharu.

“Setiap kali solat saya akan berdoa semoga Allah memberikan kudrat dan kesihatan yang baik kepada saya. Dan apa pun, seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap mereka akan dapat sepasang baju baharu.

“Saya bernasib baik juga kerana semua budak-budak ini tidak banyak karenah, termasuk yang kecil sekali,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Burhanuddin Bachik berkata, keluarga itu layak menerima Bantuan Kanak-Kanak berjumlah RM600 sebulan.

Katanya, bantuan itu akan diberikan kepada Awa, sebagai wakil penjaga kanak-kanak itu, bermula Mei depan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top