Buletin

Rakyat mual dengan kegelojohan ‘politik khianat’ – Anwar

Tidak semua ahli politik sanggup menggadai maruah dan diri semata-mata kerana kedudukan dan wang ringgit, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, berpegang kepada prinsip tersebut, beliau menggesa Rang Undang-Undang (RUU) terutamanya berkaitan isu lompat parti dibahaskan dan diluluskan Parlimen.

Tegasnya, beliau berharap dengan keputusan memperincikan peruntukan dalam RUU tersebut, ia sedikit sebanyak memulihkan semangat dan kepercayaan rakyat kepada ahli politik.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa ada persepsi negatif terhadap orang-orang politik sekarang.

“Ada sebahagian rakyat, terutama elemen yang sedar, yang berasa mual dengan kegelojohan politik yang sanggup umpamanya mengkhianati amanah.

“Mereka lakukan itu semata-mata kerana janji sogokan sama ada wang atau kedudukan.

“Persepsi ini menyeluruh dan ini menyentuh kepada semua sehingga orang tak terlibat turut terpalit.

“Antara persepsi negatif ini adalah kerana perilaku lompat parti itu menjadi perkara biasa sepanjang beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (no. 3) 2022 pada Isnin.

Tambah beliau, sekiranya RUU tersebut dilaksanakan, rakyat boleh menggunakan peruntukan dalam RUU itu untuk menetapkan calon yang mereka yakin tidak mungkin akan mengkhianati amanah diberikan.

“Saya percaya pindaan ini juga akan memulihkan keyakinan bukan saja kepada orang politik tapi kepada sistem demokrasi dalam negara,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top