Umum

MPKL teliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP), akan meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya juga tidak memandang remeh soal kebajikan anjing yang telah mereka tangkap, hasil maklumat dan laporan orang awam.

Kenyataan itu menyatakan semua anjing yang ditangkap itu dijaga di pusat kurungan dengan diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang dengan makanan khas, serta ditempatkan di tempat bersesuaian sepanjang berada dalam kurungan.

“Tempat kurungan tersebut turut dibersihkan secara berjadual, bagi mencegah jangkitan kutu dalam kalangan haiwan di dalam pusat kurungan itu.

“MPKL turut menambah baik pengurusan pusat kurungan supaya lebih teratur dari segi jadual pembersihan dan pengendalian tatacara pemberian makanan kepada anjing-anjing yang ditangkap, malah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil dan menjaga haiwan tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

MPKL memaklumkan mereka menerima 270 aduan dengan purata 22 aduan sebulan pada tahun 2022 dan dalam tempoh itu 1,153 ekor anjing ditangkap dengan kebanyakannya anjing yang berpenyakit, tidak terurus dan kurang nutrisi.

Dalam pada itu, MPKL turut menyambut baik kesudian beberapa NGO yang berminat untuk mengambil haiwan yang ditangkap pihaknya, untuk ditempatkan di pusat perlindungan haiwan mereka.

PBT tersebut turut menyeru orang awam agar tidak membiarkan anjing peliharaan bersendirian dan terbiar di jalanan dan sebaliknya boleh menghubungi serta menghantar haiwan peliharaan kepada NGO yang mempunyai tempat perlindungan untuk haiwan-haiwan tersebut.

Terdahulu tular beberapa keping gambar anjing yang kurus dan kelihatan tidak terurus di pusat kurungan haiwan yang didakwa bawah kendalian MPKL.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top