Umum

15 mati akibat rabies di Sarawak tahun ini, terbaharu bangkai anjing jadi punca

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengesan satu lagi kes kematian yang disyaki dijangkiti rabies dari bangkai anjing dalam tempoh Ogos sehingga 17 Sept tahun ini, menjadikan kini empat kes kematian akibat rabies dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata kes terbaru melibatkan mangsa yang dipercayai mendapat jangkitan penyakit berkenaan semasa mengendalikan bangkai anjing peliharaannya.

Beliau berkata tiga kes terdahulu melibatkan seorang mangsa dicakar oleh kucing peliharaan, manakala dua lagi membabitkan kes mangsa digigit anjing peliharaan.

“Kesemua kes ini tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit, dicakar atau mengendalikan bangkai haiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya secara keseluruhannya 15 kes maut akibat rabies dilaporkan di Sarawak tahun ini dan kes-kes kematian itu adalah sebahagian dari 17 kes rabies yang dilaporkan di negeri itu di antara 1 Jan dan 17 Sept.

Bagi keseluruhan jumlah kes yang dilaporkan tahun ini, Dr Ooi berkata lima kes adalah dari Bahagian Sibu, Bahagian Serian (empat), Bahagian Kuching (tiga), Bahagian Bintulu (tiga) dan Bahagian Samarahan (dua).

Beliau berkata jumlah keseluruhan kes rabies untuk tempoh itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 70 peratus berbanding hanya 10 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

“Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 72 kes dengan 65 kematian,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihati agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat selepas digigit atau dicakar oleh haiwan peliharaan.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak mengendalikan bangkai haiwan yang tidak diketahui status jangkitan termasuk haiwan peliharaan dan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk pengendalian bangkai berkenaan,” tambahnya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top