Buletin

Muafakat Nasional belum berkubur – Tuan Ibrahim

Muafakat Nasional (MN) masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya status MN akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” katanya pada kempen calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata mesyuarat peringkat induk MN juga sudah beberapa bulan tidak diadakan, namun di peringkat Kabinet, parti-parti terlibat masih mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pada masa ini agenda MN tidak dibincangkan dan tumpuan kini diberikan kepada PRN Johor.

“… jadi sekarang ni kita tak bincanglah MN ni, MN kita tutup fail dulu sementara kita hadapi pilihan raya bersama kekuatan di dalam Perikatan Nasional… kita tak perlu toleh belakang, kita terus ke depan,” katanya

MN adalah gabungan kerjasama PAS dan UMNO yang dicetuskan hasil Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 2019.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top