Umum

Muhyiddin akan mohon tiga kes AMLA digugurkan

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) mencecah RM200 juta yang dihadapinya.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian bagi pihak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ketika sebutan kes berkaitan Jana Wibawa ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Menurutnya, permohonan berkenaan akan dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Kita akan memfailkan permohonan itu secepat mungkin, selain akan mengemukakan permohonan secara bertulis kepada pendakwaan supaya pasport dikembalikan semula kepada Muhyiddin,” katanya.

Muhyiddin, 76, tidak hadir pada prosiding pada Selasa dan dilaporkan telah mendapat pengecualian kehadirannya daripada mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, prosiding sebelum ini menetapkan pada Selasa untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya empat kes rasuah dan tiga AMLA dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, beliau berkata, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan permohonan iaitu tertuduh dalam kes ini untuk membatalkan pertuduhan.

“Justeru itu, kami memohon supaya permohonan berkenaan ditangguhkan ke tarikh lain kerana kami telah memfailkan notis rayuan, 15 Ogos lalu.

“Kami juga telah memfailkan petisyen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat kes rasuah di Mahkamah Rayuan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah telah menetapkan pengurusan kes berkenaan pada 27 September ini.

Sementara bagi tiga kes AMLA dan empat kes rasuah, beliau berkata, pihak pendakwaan memohon agar sebutan kes dijalankan pada 29 November.

“Jika boleh, kami harap permohonan ini juga ditetapkan pada tarikh yang sama,” katanya.

Hisyam tidak membantah cadangan tersebut, namun memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan kerana ia hanya membabitkan sebutan kes.

Azura kemudian membenarkan sebutan kes seterusnya seperti dicadangkan pendakwaan dan memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memaklumkan status kes itu di Mahkamah Rayuan pada 27 September.

Mahkamah turut mengarahkan surat (perkembangan pengurusan kes) difailkan dalam sistem kehakiman.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Tiga hari kemudian, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan ketujuh, iaitu kes pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, tahun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 September, untuk prosiding permohonan pendakwaan supaya semua kes yang dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, pada 15 Ogos, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan pemimpin berkenaan atas empat tuduhan rasuah.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan itu. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top