Umum

Muhyiddin bidas kenyataan UMNO, BN yang memanggil dirinya pengkhianat.

Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional hari ini membidas dakwaan segelintir pihak bahawa beliau adalah ‘pengkhianat’, sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan, dan menjadi Perdana Menteri untuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Provokasi dari pihak tertentu yang mengatakan beliau tidak ‘malu’ dan ‘kerajaan pintu belakang’ untuk menjadi Perdana Menteri itu adalah bagaikan tidak berasas.

“Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang tersedar bahawa sokongan pemimpin-pemimpin kanan UMNO itu adalah bersyarat. Beliau juga mendakwa, mereka berjumpa beliau pun semata-mata untuk dilepaskan dari tindakan mahkamah.

Namun, beliau tetap tegas dengan keputusannya untuk tidak melayani permintaan tersebut, biarpun kedudukannya sebagai Perdana Menteri tergugat.

“Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.

“Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?” soalnya kembali.

Ekoran pendirian beliau, Muhyiddin mendakwa, bermulanya gerakan ‘Kluster Mahkamah’ itu yang bukan sahaja menentang beliau sebagai Ketua Kerajaan, malah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif PN, biarpun ia baik untuk rakyat.

Tambahan beliau, gelagat mereka itu seolah tidak ubah seperti gelagat pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan.

“Saudara dan saudari tentunya juga masih ingat rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bercakap dalam Mesyuarat MT UMNO pada bulan Julai 2021. Dia menggesa UMNO menarik sokongan kepada saya ketika kes-kes COVID-19 sedang meningkat.

“Kononnya apabila kes-kes COVID-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN. Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Ekoran perancangan ‘Kluster Mahkamah’ itu masih belum berhasil, maka ‘Kluster Mahkamah’ sehingga ke hari ini masih membuat strategi untuk menyingkirkan PN dalam pentadbiran persekutuan dan negeri, termasuk Pilihan Raya Negeri Johor.

Dakwanya lagi, strategi itu bermula selepas BN menang PRN Melaka, sehingga mereka yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka, walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi.

“Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Seandainya itu terjadi, Muhyiddin berkata, persoalan mengenai siapa sebenarnya ‘pengkhianat’ akan menjadi lebih terang lagi bersuluh, dan itu perlu dielakkan oleh rakyat negeri Johor.

“Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

“Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” katanya lagi.

PALING POPULAR

To Top