Umum

Muhyiddin nafi dakwaan beri kontrak kepada syarikat menantu, dan anggap ia satu fitnah jahat!

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Muhyiddin dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tuduhan yang diterbitkan dalam portal Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 8 Februari merupakan satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

Dakwaan itu terjadi, ketika beliau menyandang jawatan sebagai perdana menteri walhal beliau tidak sama sekali terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu.

“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya.

Menurut Muhyiddin, bagaimana dia yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarganya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa.

Tambahnya, dia percaya ia adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadapnya.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau kerajaan yang melantik anak-beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.

“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” katanya.

PALING POPULAR

To Top