Umum

KPM siasat dakwaan guru minta murid tukar agama

Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan awal bagi mendapatkan kesahihan maklumat berkaitan dakwaan guru yang meminta murid untuk menukar agama.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan kaum atau agama.

“KPM merujuk kepada video sidang media yang tular di Facebook pada semalam berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.

“KPM mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhubung kenyataan video tular tersebut. Siasatan awal dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat,” katanya.

Menurut KPM, pihaknya memandang serius terhadap isu yang dilaporkan selain menegaskan bahawa hal agama tidak boleh dijadikan persendaan yang boleh menggugat keharmoniaan kaum dan negara.

Selain itu, katanya, KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia sekiranya terdapat laporan polis dibuat mengenai isu tersebut.

“KPM tidak akan berkrompomi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama,” ujarnya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan, seorang guru didakwa menggalakkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk memeluk Islam dengan mendakwa ia akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan. – UTUSAN

PALING POPULAR

To Top