Umum

Muhyiddin tawar letak jawatan presiden demi maruah, tapi ditolak

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau telah menawarkan meletak jawatan Presiden Bersatu susulan beberapa pertuduhan yang dihadapi di mahkamah pada Jumaat lalu.

Tawaran meletak jawatan itu, kata bekas Perdana Menteri kelapan adalah bersesuaian dengan mendukung prinsip dan moto perjuangan Bersatu iaitu ‘Bersatu, Bermaruah dan Beramanah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa di dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam saya telah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu.

“Ini adalah disebabkan oleh kedudukan saya pada masa ini yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.

“Sebagai mendokong prinsip dan motto perjuangan parti kita iaitu “Bersatu, Bermaruah dan Beramanah”, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan terhadap diri saya,” katanya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Menara PGRM di ibu negara hari ini (Ahad, 12 Mac 2023).

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, MPT Bersatu telah menolak tawarannya untuk mengosongkan kerusi presiden.

“Perwakilan pada hari ini juga telah meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti.

“Saya amat terharu dengan sokongan saudara dan saudari semua kepada saya dan dengan ini saya mengucapkan terima kasih,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MPT sebulat suara menolak perletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden parti.

“Ini kerana MPT menegaskan bahawa pertuduhan ke atas beliau dibuat atas jawatan sebagai Presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.

“MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap Presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top