Umum

Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat

Perikatan Nasional memberi jaminan akan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) secara bersasar sekiranya dipilih membentuk Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini (19 November 2022).

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan itu – walaupun ianya tiada dalam manifesto – ketika berucap pada Jelajah PN BEST Parlimen Tambun di Ipoh, Perak, malam tadi (13 November 2022).

Sebelum ini, pada 6 November lalu, ketika majlis menjawab soalan peserta pada dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, Muhyiddin hanya berkata Perikatan Nasional akan mempertimbangkan pemberian KWSP bersasar itu jika menang PRU-15 ini.

“Antara perkara yang berbangkit ialah minta supaya abah ni benarkan lagi sekali pengeluaran KWSP.

“Tak ada dalam manifesto… tapi dulu pun kita buat pun tak ada dalam manifesto insya-Allah bila mana kita menang antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah tentang KWSP bersasar.

“Kalau kita lihat yang dahulu, kita dah benarkan berapa kali… I-Sinar, I-Lestari… walaupun awalnya agak sukar tapi lepas itu dipersetujukan,” katanya pada majlis dialog itu.

Bagaimanapun, malam tadi, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan pengeluaran KWSP bersasar akan dibenarkan jika Perikatan Nasional menang dan membentuk Kerajaan Pusat.

“Kami (Perikatan Nasional) akan melaksanakan KWSP bersasar… maknanya kalau mereka memerlukan… ada lagi dana dalam KWSP… boleh dikeluarkan sebahagiannya kita akan benarkan ia dikeluarkan.

“Arahan daripada pihak kerajaan, Kabinet, maka KWSP perlu mengeluarkan. Insya-Allah mungkin dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama jika Perikatan Nasional menang dan menubuhkan Kerajaan Pusat isu KWSP dibenarkan,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan berkata rakyat sudah tidak mahu menunggu lagi sekarang untuk membuat perubahan kehidupan mereka setelah melalui zaman gelap pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top