Umum

Muhyiddin umum Mas Ermieyati calon PN Parlimen Masjid Tanah

Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Melaka, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Pengumuman dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak sengaja pada Program Jelajah Prihatin PN Masjid Tanah, malam tadi (22 Oktober 2022). Namun, kemudian beliau mengumumkannya secara rasmi.

Ketika memperkatakan parti politik mana yang akan dipilih oleh rakyat pada 19 November ini, Muhyiddin berkata hanya terdapat tiga gabungan sahaja iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Tetapi yang paling penting ialah tiga sahaja. Ini bukan soal pangkah wakil rakyat… macam di sini (Masjid Tanah) tentulah Mas Ermieyati… dan tersebut pula apa nak buat.

“Orang Masjid Tanah tahu Mas Ermieyati dan buat kerja kuat… saya rasa tak boleh nak elak… kena umum juga pada malam ini… Mas Ermieyati calon PN di Masjid Tanah,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Untuk rekod, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Beliau yang juga bekas Ketua Puteri UMNO menang pada PRU-14 lalu atas tiket Barisan Nasional mengalahkan dua calon lain daripada Bersatu dan PAS dengan majoriti 8,159 setelah memperoleh 22,898 undi.

Calon daripada Bersatu memperoleh 14,739 undi manakala calon PAS (4,688 undi).

Pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu, Mas Ermiyati bertanding di Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara hanya tewas tipis kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, apabila memperoleh 3,195 berbanding lawannya 3,559 undi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top