Umum

PAS letak doktor gigi calon PN di Parlimen Titiwangsa

Seorang doktor gigi, Dr Rosni Adam menjadi pilihan PAS untuk bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Dalam catatan Facebook hari ini (Sabtu, 22 Oktober 2022), PAS Titiwangsa mengumumkan bahawa doktor berusia 52 tahun itu akan menjadi calon pilihan mereka untuk kawasan Parlimen P119 Titiwangsa.

“PAS Kawasan Titiwangsa akan meletakkan bakal calonnya mewakili Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.

“Dalam PAS Dr Rosni memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mengetuai Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat, selain Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

“Insya-Allah, legasi Allahyarham Dr Lo’lo’ Mohd Ghazali serta Datuk Seri Rina Harun selaku ahli Parlimen Titiwangsa sebelum ini akan diteruskan oleh Dr Rosni yang mewakili Perikatan Nasional,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PAS Titiwangsa telah membawa Dr Rosni berkunjung ke Pasar Taman Maluri untuk bertemu orang ramai serta peniaga pasar terbabit sebagai satu suai kenal awal kepada pengundi.

Pada PRU-14 lalu, Rina daripada Bersatu dan bertanding menggunakan lambang PKR memenangi kerusi Parlimen itu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS Mohamad Noor Mohamad.

Rina memperoleh 23,840 undi dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4139 undi, manakala Johari yang juga penyandang kerusi itu mendapat 19,701 undi dan Mohamad dengan 6845 undi.

Johari sebelum itu adalah penyandang kerusi berkenaan setelah memenanginya dalam PRU-13 pada 2013, mengalahkan calon PAS daripada Pakatan Rakyat, manakala Allahyarham Dr Lo’lo pula memenangi kerusi itu pada PRU 2008.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top