Umum

Muhyiddin Yassin tawar KJ sertai Bersatu

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh mengemukakan permohonan sekiranya berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah dipecat daripada UMNO pada Jumaat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan daripada bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun akan dipertimbangkan oleh pihak parti sebelum membuat keputusan.

“KJ adalah orang bijak, dia pandai, banyak orang suka, tapi tidak mengapa semua ini saya kenal… terserah pada mereka (pihak parti) kalau mereka rasa sesuai kerana seorang seperti KJ ini, bukan saya hendak memuji pun.

“Dia bersama saya dalam kerajaan dulu… saya lantik dia walaupun parti tidak menamakan dia. Dulu jadi Menteri MOSTI (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi), lepas itu Menteri Kesihatan. Jadi kita kenal dia bijak orangnya… berkelulusan tinggi dan politik pun boleh tahan matang.

“Jadi kalau KJ kata dia berhasrat untuk bersama menyertai Bersatu, dia boleh buat permohonan.Kita akan pertimbangkan secara yang baik-baik,” katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh di sini.

Selain Khairy, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat daripada UMNO hasil keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Pemecatan berkenaan dibuat berikutan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top