Umum

Mukhriz dapat permohonan parti GTA kepada RoS

Gerakan Tanah Air (GTA) menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), di sini pada Selasa.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan ini empat parti dalam gabungan GTA itu akan menggunakan satu logo yang dikenali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berharap RoS akan meluluskan penubuhan itu dengan segera seperti mana hak berpersatuan yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Ini gabungan empat parti mana senang sikit bila kerja sebab ada gabungan. Masing-masing ada kekuatan untuk bertanding (PRU15). Kalau bertanding nanti, inilah lambang kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas GTA menyerahkan permohonan di sini, pada Selasa.

Mukhriz menjelaskan, gabungan itu bukan setakat pergerakan bahkan satu bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRU15.

“Walaupun namanya pergerakan, kita dah ada logo, maksudnya nak menyertai PRU menggunakan logo sama,” tambahnya.

Sebelum ini, dalam satu sidang media Pengerusi penaja gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan jawatankuasa tambahan bagi GTA.

Antara yang dilantik ialah Datuk Mohamed Ismail (IMAN) sebagai Bendahari dan Datuk Nizam Mahshar sebagai Ketua Penerangan.

Turut dilantik ialah Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dari Pejuang sebagai Sayap Wanita; Nasrul Ali Hassan Abdul Latif dari Putra sebagai Sayap Pemuda serta Azliza Rajain sebagai Sayap Pemudi mewakili Berjasa.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

PALING POPULAR

To Top