Umum

Najib boleh dibebaskan mengikut Akta Penjara kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan

Gambar Facebook

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berkata kerajaan mempunyai kuasa membebaskan Najib Razak daripada penjara mengikut Akta Penjara 1955 walaupun Lembaga Pengampunan hanya mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu.

Menurut bekas hakim Mahkamah Rayuan itu, Seksyen 43 Akta Penjara membenarkan pembebasan mana-mana banduan “secara lesen”, tertakluk kepada peraturan ditetapkan oleh menteri.

Peruntukan itu turut menyatakan bahawa, syarat bagi pembebasan mana-mana banduan “boleh dinyatakan dalam lesen berkenaan.”

Menurut laporan FMT, beliau berpandangan sekiranya kerajaan mahu membebaskan Najib secara lesen bawah akta berkenaan, sudah lama ia boleh dilakukan.

“Ini juga boleh dibuat atas alasan wajar, selepas penghakiman bertentangan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dalam permohonan semakan tahun lepas.”

Hamid berkata, proses itu tidak tertakluk kepada sebarang permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bergantung kepada keputusan kerajaan.

“Saya agak hairan Najib dan Umno tidak membangkitkan isu ini dengan kerajaan semasa,” katanya.

Terdahulu, bekas PM Najib Razak, 70, didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah (CBT) melibatkan dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas rayuan terakhirnya ditolak panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun, iaitu sehingga 23 Ogos 2028.

Manakala denda sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta, dengan syarat tambahan hukuman setahun sekiramya gagal membayarnya.

PALING POPULAR

To Top