Selebriti

Nama arwah Siti Sarah diabadikan di Rumah Anak Yatim Baitul Sakinah As-Shariff

NAMA Allahyarham Siti Sarah diabadikan di sebuah ruang solat dan dewan Rumah Anak Yatim Baitul Sakinah As-Shariff, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Menerusi laman sosial Instagram, suami Allahyarham yang merupakan pelawak dan ahli perniagaan, Shuib berkongsi lawatan ke rumah anak-anak yatim tersebut untuk tatapan umum.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, Siti Sarah pernah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan ruang solat dan dewan serbaguna di rumah anak yatim tersebut sekitar Julai tahun lalu.

“Hari ini 12 Mac (semalam), kali kedua datang ke Baitul Sakinah As-Shariff tetapi bersama mentua dan anak-anak. Kali pertama datang ke sini pada 25 Julai 2021 bersama arwah isteri tercinta.

“Arwah terlalu seronok bertemu anak-anak yatim di sini. Kemudian dia diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan mussolla (ruang solat) dan dewan serbaguna yang ketika itu baru 70 peratus siap,” katanya di ruangan kapsyen.

Menerusi perkongsian itu lagi, Shuib dilihat hadir ke rumah anak yatim tersebut ditemani tiga anaknya dan ibu bapa mentuanya, Raisuddin Hamzah dan Siti Fatimah Suberi.

Namun, hasrat arwah untuk melihat ruang solat dan dewan tersebut tidak kesampaian selepas dia dijemput ilahi akibat COVID-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

“Arwah nak sangat menyumbang sebab mahu lihat ruang solat dan dewan ini untuk kegunaan anak yatim serta orang Kampung berhampiran tetapi hari ini, bila semuanya sudah siap, arwah sudah pergi selama-lamanya.

“Tetapi rezeki arwah, dia diberi penghormatan apabila nama ruang solat dan dewan ini meletakkan nama Sarah serta digabungkan dengan dua nama lain iaitu Musolla dan Dewan Serbaguna Sarah Muslim al-Attas,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Shuib turut berterima kasih kepada arwah isterinya kerana mengajarnya tentang manfaat dan kebaikan aktiviti bersedekah.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kerana mengajar saya tentang sedekah dan yakin dengannya. Semoga pahala terus mengalir untuk awak.

“Insya-Allah akan selalu bawa anak-anak ke sini. Ini lokasi terakhir kita dating sayang. Semoga ada pengajaran yang boleh kita ambil,” ujarnya.

Sebagai info, Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu dan sempat melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan pada 6 Ogos secara pembedahan selepas ditidurkan.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, dan Ariq Matin, 7 dan Ayash.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Astro GEMPAK

PALING POPULAR

To Top