Datuk Seri Najib Razak – yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang – disenaraikan sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Namanya adalah antara lima calon yang disenaraikan UMNO Bahagian Pekan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Zamri Ramly berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bekas Presiden UMNO itu masih berpeluang bertanding sekiranya beliau berjaya dalam permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu.
Menurutnya, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Najib dan ditakdirkan bebas sebelum penamaan calon, dia masih layak bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.
“Jadi tiada masalah bagi UMNO Pekan untuk menyenaraikan nama Najib dalam senarai calon untuk PRU-15 ini,” katanya ketika menurut Sinar.
Sementara itu Zamri berkata, UMNO Pekan tidak berhasrat meletakkan anak sulung Najib, Datuk Nizar Najib atau anak perempuannya, Nooryana Najwa di kerusi Parlimen itu.
Menurutnya, sebagai Ketua Pemuda Pekan, Nizar digalakkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Nooryana pula tidak aktif berpolitik jadi mungkin belum masanya namanya dicalonkan,” katanya.
Sumber: Agenda Daily