Umum

OCBC, BANK MUAMALAT NAIKKAN KADAR ASAS SEBANYAK 0.25 MATA PERATUSAN

OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan unit perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd, akan menaikkan kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR), kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 0.25 mata asas berkuat kuasa pada 10 Mei ini.

Bank itu berkata, ini sejajar dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

“Semua kadar pinjaman dan pembiayaan berasaskan SBR, BR, BLR dan BFR akan naik mengikut kadar sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, semua kadar deposit tetap konvensional dan kadar lembaga deposit Islamik akan turut meningkat 0.25 mata peratus pada tarikh sama.

“Kadar SBR OCBC Malaysia naik daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus; BR daripada 3.58 peratus kepada 3.83 peratus dan BLR/BFR daripada 6.51 peratus kepada 6.76 peratus,” katanya.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd turut mengumumkan bahawa SBR, BR dan BFR bank berkenaan masing-masing akan disemak naik sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus daripada 2.75 peratus; 3.56 peratus kepada 3.81 peratus dan 6.56 peratus kepada 6.81 peratus berkuat kuasa 9 Mei, 2023.

“Ini turut merangkumi kadar pembiayaan terapung yang disandarkan kepada SBR, BR dan BFR,” kata bank berkenaan.

Kadar deposit akaun jangka tetap-i (FTA-i) Bank Muamalat juga akan disemak semula sejajar dengan peningkatan SBR, BR dan BFR tersebut.

Selain itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata bank tersebut akan terus mengurus aset dan liabilitinya secara bertanggungjawab sambil terus menyokong inisiatif pertumbuhan ekonomi semasa selain menepati jangkaan pihak berkepentingan.

Pada masa sama, pelanggan yang

berdepan kesukaran membayar ansuran lebih tinggi susulan kenaikan kadar terbabit, diminta menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 03-2600 5500 atau menerusi Muamalat Application Platform (MAP) di https://map.muamalat.com.my.

— BERNAMA 

PALING POPULAR

To Top